Wednesday, 18 December 2013

Kegilaan Peminat Terhadap Selebriti(Budaya Pencerobohan Maklumat Peribadi) dan juga Kesan Terhadap Kehidupan Sosial Artis.


Dewasa ini ianya seakan menjadi suatu kebiasaan bagi golongan selebriti khususnya penyanyi dan juga pelakon untuk mempromosikan diri serta produk diri mereka melalui media sosial. Dengan kepesatan pembangunan teknologi maklumat dan juga munculnya alat komunikasi mudah alih berkuasa tinggi seperti komputer tablet, telefon pintar dan sebagainya, tiada lagi masalah timbul dalam mencapai rangkaian internet. Tempat, masa dan alat bukan lagi suatu kekangan komunikasi dan ini menjadikan seseorang itu terlalu terbuka di kalangan pengguna Internet. Seorang artis itu sering dilabel sebagai hak milik awam, dan ini menjadikan orang awam amat berminat dalam mengetahui perkembangan terbaru kehidupan artis terbabit bukan sahaja dari segi professional malahan peribadi juga.
            Melihat kepada hal ini, kecenderungan seorang artis itu untuk berkongsi mengenai hal peribadinya juga adalah tinggi sementelah melalui kaedah itu sahaja mereka berkemungkinan berpeluang dalam memperolehi peminat baru. Sikap sebegini tanpa disedari sebenarnya telah melahirkan satu golongan yang terlalu fanatik terhadap diri artis tersebut sehingga mereka sanggup melakukan apa sahaja dalam menjadi golongan pertama yang mengetahui sebarang perkembangan terbaru artis terbabit.
            Golongan yang obsess dengan artis ini sebenarnya sangat menakutkan kerana mereka dalam memastikan keinginan mereka dapat dipenuhi secara tidak langsung telah menyakiti diri serta imej artis di mata orang awam yang lain. Dalam mencapai matlamat untuk menjadikan artis itu hak milik mereka sepenuhnya, seringkali golongan ini melampaui batasan, antara seorang peminat dengan artis. Mereka akan menggunakan segala medium yang ada dalam usaha untuk membuat seorang artis itu sedar akan kehadiran mereka. Sebagai contohnya, terdapat banyak kes yang terjadi di Malaysia, yang mana ada di kalangan peminat menceroboh masuk ke dalam rumah artis terbabit dan memasang kamera litar tertutup di ruang legar peribadi rumah berkenaan, antara kes yang pernah direkodkan adalah yang melibatkan pelakon jelita, Nasha Aziz.
            Arus kemodenan telah membawa perubahan dalam cara yang digunakan oleh golongan ekstremis ini untuk mengakses maklumat peribadi artis yang mereka kononnya sayangi, contohnya, budaya menceroboh masuk laman sosial peribadi, komputer dan juga pelbagai lagi akaun peribadi yang penting seperti akaun bank. Melalui golongan ini juga, timbul satu keadaan di mana media massa menggunakan maklumat yang mereka perolehi dalam mencipta gosip-gosip hebat yang mampu melariskan akhbar atau majalah mereka. Kitaran ini sebenarnya mendatangkan kesan yang buruk terhadap diri artis terbabit samaada secara fizikal mahupun emosi mereka kerana selalunya berita yang tersebar merupakan suatu yang terlalu besar dan mampu membawa kepada kehancuran karier artis terbabit.
            Antara nama-nama besar yang terlibat dengan situasi sebegini adalah seperti penyanyi Indonesia, Ariel Peterpan dan juga kekasihnya iaitu pelakon, Luna Maya yang video hubungan terlampau mereka telah disebarkan oleh individu tidak bertanggungjawab menerusi penggodaman fail di dalam komputer Ariel. Ariel telah dipenjara kesan daripada penyebaran video ini. Ikon antarabangsa yang lain yang terlibat adalah seperti salah seorang anggota kumpulan lelaki Korea,Super Junior iaitu Eun Hyuk, yang mana menerusi akaun twitternya telah dikemaskini satu status yang mana membawa kepada penyebaran gambar bogel seorang lagi peserta rancangan realiti di Korea dan melalui tindakan golongan ekstremis ini, Eun Hyuk terpaksa mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka bagi membetulkan persepsi orang awam yang mengikutinya di twitter. Manakala kes yang melibatkan pencerobohan akaun bank pula adalah seperti apa yang terjadi terhadap pelakon, Lisa Surihani yang lesap RM50000 dalam sekelip mata. Mungkin terdapat banyak lagi kes yang terjadi yang tidak diperbesar-besarkan demi menjaga maruah dan juga karier mereka yang terlibat.


            Justeru itu wajarlah penguatkuasaan undang-undang terhadap jenayah siber diperketatkan lagi dan melindungi golongan yang merupakan ‘public figure’ ini kerana keberangkalian mereka untuk difitnah adalah tinggi. Melindungi di sini bukan membawa maksud memberi mereka satu hak atau imuniti terhadap tuduhan-tuduhan lain yang mungkin akan terjebak sama jika didapati bersalah, namun untuk memberi takrifan yang lebih besar dari segi apakah perkara yang disebarkan oleh penggodam dan hukuman yang menanti mereka, kerana mungkin penyebaran itu sebenarnya membawa satu masalah yang sangat besar kepada golongan artis itu sehingga kehilangan kerja, orang sekeliling serta kepercayaan terhadap diri sendiri yang mana mungkin membawa kepada pengakhiran yang lebih besar dan tidak diingini oleh semua pihak terbabit seperti bunuh diri.

Noor Munirah Abdullah Sani

4 comments:

  1. sejak dahulu lagi artis atau public figure sering mnjadi mangsa fitnah, perbuatan khianat ats penyebaran akhbar angin. dan sy kira perkara ini akan terus berlanjutan sekiranya undang-undang kita tidak dikuatkuasakan secara sepenuhnya.

    ReplyDelete
  2. Bagi penyakit sebegini masih relevankah hanya undang-undang sahaja yg akan berjaya memainkan peranan membantu membenteras kes-kes sebegini?

    ReplyDelete
  3. disini kita dapat lihat juga keruntuhan moral yang berlaku dalam masyarakat kita sekarang. mereka seakan-akan tidak berfikir sebelum bertindak. perkara ini sedikit sebanyak memalukan orang lain dgn perbuatan mereka yang tak bertanggungjawab

    ReplyDelete
  4. betul tu. dgn adanya dunia siber sekrg, pengguna siber terlalu asyik sehingga akhlak, moral mereka terjejas. dan bukan setakat itu je, lagi pulak nk heboh kt satu dunia.
    dan bg soalan kiro ara di ats, sy rasa undg-undg di malaysia masih tidak dikuatkuasakn sepenuhnya. dan sbb itu pengguna siber tidak takut utk melakukan jenayah. jika kita lihat, brpa kes sj yg dibicarakn di bawah undg2 siber?

    ReplyDelete